PORT DICKSON – Seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an dikhuatiri lemas selepas menjaring ikan bersama tiga lagi rakannya di Pantai Batu 1, di sini petang ini.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan II, Shahrudin Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 3.22 petang tadi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan sekumpulan rakan seramai empat orang telah melakukan aktiviti menjaring ikan di pantai itu dan seorang daripada mereka dipercayai dibawa arus akibat air pasang.
“Pihak bomba telah mula menjalankan pencarian secara permukaan. Selain itu, seramai lima orang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang telah diturunkan mencari mangsa dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, pegawai penyelaras PPDA BBP Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya ketika ini sedang menjalankan pencarian secara permukaan susulan faktor air pasang dan berombak di pantai tersebut.
“Berkemungkinan selepas air surut, pihak kami akan mula menurunkan penyelam untuk pencarian mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE