MEKAH – Rata-rata jemaah Malaysia memberitahu mereka tidak sabar untuk pulang ke tanah air selepas selamat melakukan rukun dan wajib haji kelmarin.
Antara yang mereka inginkan ialah melihat suasana di kampung halaman yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau selain bermesra dengan ahli keluarga selepas lebih sebulan berpisah.
Petugas haji, Norhayati Paradi, 42, berkata, dia tidak sabar untuk pulang pada minggu hadapan untuk bertemu dengan enam anak, ibu dan suaminya di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, sepanjang berada di sini hampir dua bulan, banyak yang saya pelajari dan mengutip pengalaman berharga sebagai kenangan.
“Namun, saya tak sabar nak balik Malaysia kerana rindu kepada keluarga walaupun pada masa sama sedih meninggalkan Tanah Suci,” katanya.
Menurut Norhayati, dia berazam untuk melihat perubahan pada cara hidup di dalam keluarganya.
Tambahnya, dia tak sabar untuk menikmati laksa kegemarannya sebaik tiba di tanah air pada 7 Julai ini.
Berkongsi rasa yang sama, seorang jemaah, Ahmad Tarmizi Abdul Rahim, 49, berkata, dia tak sabar hendak berjumpa dengan anak-anaknya untuk berkongsi segala pengalamannya sepanjang berada di Tanah Suci.
“Memang dah rindu sangat dan ingin kembali ke Malaysia sebab nak kongsikan pengalaman manis, pahit, gembira dan macam-macam lagi.
“Bab makanan jatuh nombor dua dan ada juga membeli sedikit buah tangan untuk kenalan dan jiran-jiran,” katanya.
Menurut Ahmad Tarmizi, jemputan mengerjakan haji merupakan kenangan manis untuknya pada tahun ini kerana jatuh pada hari lahirnya hari ini.
Seorang lagi jemaah, Mohamad Nasir Salleh, 70, dari Taman Sri Rahmat, Kuala Krai, Kelantan berkata, dia amat rindunya dua cucu dan empat anaknya selepas hampir sebulan setengah berada di Tanah Suci.
“Saya ke sini seorang diri kerana isteri telah meninggal dunia tahun lalu akibat sakit. Bagi saya biasa saja sebab sedih juga hendak tinggalkan bumi Mekah,” jelasnya.