NASIB Kelantan untuk meneruskan baki saingan Liga Super musim ini dijangka terus mendapat perhatian selepas kelab itu dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Walaupun pemilik pasukan, Norizam Tukiman mahu cuba menyelamatkan pasukan daripada berdepan sekatan, namun kualiti kelab untuk berikan saingan pastinya menjadi persoalan utama memandangkan The Red Warriors sudah pun ‘bercerai’ dengan ramai tonggak utama termasuk bintang import.
Terbaharu, giliran Nuha Marong angkat kaki dan berharap segala kemelut dalaman dapat diselesaikan dengan cara terbaik bagi memastikan peminat mendapat hak untuk menyaksikan pasukan lebih berkualiti.
“Saya mahu berterima kasih kepada peminat TRW Kelantan, kakitangan teknikal terutamanya kepada pemain. Hari ini (kelmarin) saya mengakhiri cabaran yang saya sendiri tidak jangka akan berakhir seperti ini.
“TRW Kelantan akan sentiasa berada di dalam hati saya. Saya berharap semua masalah dalaman dapat diselesaikan demi kebaikan para penyokong,” katanya.
Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) akan dibuka Rabu ini, namun Kelantan sudah pun kehilangan ramai tonggak termasuk import kesayangan peminat, Miguel Cifuentes yang berhijrah ke Sabah.
Selain itu, Ismaheel Akinade sertai Kelantan United malah turut kehilangan Mario Aques hingga menyaksikan pasukan hanya pertaruhkan semua pemain tempatan dalam kesebelasan utama pada aksi dengan Sri Pahang, 23 Jun lalu.