PETALING JAYA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menuntut seorang bekas menteri bergelar Tan Sri untuk menjelaskan hutang bernilai puluhan juta kepadanya.
Tuntutan secara terbuka itu dibuat berikutan usaha beliau menghubungi bekas menteri terbabit bagi mendapatkan maklum balas gagal sehingga hari ini.
Dalam pada itu, Aliff turut memuat naik gambar dipercayai bekas menteri berkenaan, namun menutup bahagian mukanya.
“Takkan bekas menteri macam ini. Saya WhatsApp tak balas, waktu nak minta bantuan dia lah terhegeh-hegeh nak jumpa saya.
“Siapa kenal Tan Sri ni? Minta dia bayar duit saya berpuluh juta. Dia mesti kaya sebab bekas menteri.
“Orang Langkawi mesti kenal, saya minta tolonglah kalau hantaran ini dilihat oleh anak dia atau saudara. Janganlah menzalimi saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Bagaimanapun, Aliff enggan menceritakan kejadian tersebut kerana tidak mahu memalukan keluarga individu tersebut.
“Saya tak nak cerita perkara sebenar, nanti malu satu keluarga Tan Sri. Jadi saya sabar-sabar sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE