PELARI pecut negara, Nur Aishah Rofina Aling berisiko tidak memperoleh ijazah sekiranya mengambil bahagian pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini.
Aishah, 24, terpaksa melupakan kejohanan tersebut bagi memberikan fokus kepada pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan yang akan berakhir tahun ini.
“Saya perlu habiskan semester ini dan tak dapat ke Kejohanan Asia sebab tarikh bercanggah dengan kuliah saya. Tak boleh tangguh lagi sebab ini adalah tahun yang terakhir.
“Lagipun saya dah tangguh sebelum-sebelum ini untuk ke AUG (Sukan Universiti ASEAN) dan Sukan SEA. Saya dah fikir masak-masak dan tak dapat ke Kejohanan Asia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, kekecewaan Aishah sedikit terubat apabila namanya tersenarai mewakili kontinjen negara pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2023 berlangsung di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Atlet dari Sabah itu akan turun dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m, sekali gus berharap dapat memperbaiki rekod peribadi terbaiknya iaitu 12.01 saat (s) dilakukan hujung tahun lalu.
Tahun 2023 dilihat sebagai musim cemerlang buat Aishah walaupun gagal menaiki acara 100m pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh dua bulan lalu.
Ini kerana Aishah berjaya membantu kuartet 4x100m bersama Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Zaidatul Husniah Zulkifli meraih pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023 dengan rekod baharu kebangsaan.
Masa 44.58s dilakukan itu adalah catatan kelima terpantas jika dibandingkan dengan keputusan pada final acara 4x100m wanita Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Ia sekali gus meletakkan mereka dalam kategori B untuk bertanding pada Sukan Asia Hangzhou, China berlangsung September depan.