fbpx

Air keruh untuk tetamu pada majlis akikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asmadi menunjukkan air telaga tiub yang keruh untuk kegunaan tetamu yang hadir pada majlis akikah cucunya di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh semalam. – TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Lebih 10 keluarga yang mengadakan kenduri kahwin, kesyukuran, akikah dan ibadah korban di sekitar Seme­rak di sini semalam terpaksa meneruskan majlis itu meskipun bekalan air bersih terputus sejak kelmarin.

Penduduk Kampung Raja Dagang, Asmadi Mohamed, 59, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membasuh bahan mentah dan memasak.

Menurutnya, dia kecewa de­ngan situasi itu apabila pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dilihat tidak cekap dalam menjalankan penjadualan apabila membaiki loji air sewaktu musim perayaan.

“Kami perlu membeli air bersih di Besut, Terengganu untuk memasak gulai dan nasi. Selain itu, penduduk juga terpaksa menggunakan air telaga tiub yang keruh untuk tetamu membasuh tangan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Asmadi, pihak AKSB sepatutnya peka dengan aktiviti orang ramai sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha. Majlis akikah cucunya perlu diteruskan kerana jemputan sudah dibuat sejak dua minggu lalu.

Seorang lagi penduduk Cherang Ruku, Zailani Ya, 57, berkata, kenduri yang diadakan di rumahnya terpaksa diteruskan dengan menggunakan air botol minuman yang dibeli untuk memasak makanan dan penyediaan minuman.

“Sepatutnya pihak AKSB membekalkan air kepada penduduk supaya majlis atau ibadah korban yang diadakan dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

“Mereka perlu membuat ja­dual penyelenggaraan yang cekap untuk membaiki kerosakan dan tidak sepatutnya dibuat pada musim perayaan. Anak cucu yang masih bercuti di kampung susah nak mandi,” katanya.

Zailani memberitahu, dia terpaksa mendapatkan bekalan air dari rumah rakannya yang menggunakan perigi bagi meneruskan kenduri yang telah dirancang sejak sebulan lalu.

Dalam pada itu, jurucakap AKSB ketika dihubungi memaklumkan, bekalan air bersih terputus di kawasan Semerak dise­babkan kerja-kerja kecemasan membaiki loji air di Bukit Peraksi di sini sejak kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI