fbpx

36 pengunjung Menara Taming Sari tersangkut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 36 pengunjung tersangkut pada ketinggan 60 meter ketika menaiki pelantar tinjau Menara Taming Sari di Melaka, hari ini.

MELAKA – Seramai 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam pelantar Menara Taming Sari pada ketinggian 60 meter dalam kejadian lewat petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin, ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kesemua pengunjung berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Pelantar menara tinjau itu yang dinaiki 26 pengunjung dewasa, kanak-kanak (lapan), warga emas (satu) dan seorang orang kelainan upaya (OKU) telah tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika ia sedang turun ke bawah.

“Pasukan penyelenggara telah mengambil langkah penyelamatan awal dengan menggunakan motor sokongan untuk menurunkan pelantar terbabit dan kesemua mereka berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dengan bantuan pihak bomba,” katanya.

Tambahnya, pihaknya telah menjalankan siasatan dan sedang menunggu laporan teknikal penuh berhubung insiden tersebut.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan insiden ini dan operasi menara akan berjalan seperti biasa sekiranya pemeriksaan dapati tiada apa-apa yang serius,” katanya.

Dalam pada itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan II, Abd. Rahim Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 5.58 petang daripada talian kecemasan MERS 999.

Ujarnya, sepasukan tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera serta Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada pukul 6.05 petang dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa 5 minit.

“Insiden itu dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem menara dan ketika kejadian kita bimbang mangsa mengalami kekurangan oksigen kerana insiden dikatakan berlaku sekitar 5.30 petang sebelum ia dilaporkan kepada pasukan penyelamat,” katanya kepada pemberita.

“Pasukan bomba membantu memastikan proses menurunkan pelantar berkenaan berjalan dalam keadaan baik sebelum operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI