SUPERMODEL dan juga pelakon Naomi Campbell selamat menimang cahaya mata kedua yang juga bayi lelaki pada usia 53 tahun, semalam.
Berita gembira itu diumumkan sendiri Campbell menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, Campbell atau nama lengkapnya Naomi Elaine Campbell berkongsi foto memegang tangan bayi yang baru dilahirkan itu bersama tangan anak perempuannya.
“Kamu sangat dihargai dan dikelilingi oleh kasih sayang. Kamu adalah anugerah sejati daripada Tuhan.
“Ketahuilah bahawa saya tidak pernah terlambat untuk menjadi ibu,” katanya.
Hantaran model yang mula mencipta kerjaya sejak berusia lapan tahun itu sekali gus mendapat ucapan tahniah daripada rakan-rakan industri yang turut gembira dengan kelahiran bayi tersebut.
“Tahniah sayangku!,” ucap penyanyi dan pelakon Kelly Rowland.
“Tahniah! Tidak sabar untuk bertemu dengan bayi comel itu nanti,” kata supermodel Cindy Crawford.
“Tahniah. Semoga semuanya baik-baik sahaja,” tulis model Claudia Schiffer.
Sejak kelahiran anak sulung pada Mei 2021, Campbell tidak banyak berkongsi kisah kehidupan peribadinya termasuk memuat naik gambar anaknya.
Bagaimanapun tahun lalu, Campbell dan anak sulungnya membenarkan wajah mereka berdua dirakam untuk muka depan majalah fesyen ternama dunia, Vogue edisi Britain. – KOSMO! ONLINE