fbpx

‘Segera bina masjid untuk mudahkan kami beribadah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD. MALIK (kanan) dan Arjuna Putera (dua dari kiri) ketika mengadakan perbincangan dengan Jamaludin (dua dari kanan) di Johor Bahru baru-baru ini.

KLUANG – Kira-kira 7,500 penduduk di Taman Tasek Indah di sini meminta agar sebuah masjid dibina di kawasan tersebut bagi memudahkan mereka beribadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baru Taman Tasek Indah, Abd. Malik Haron berkata, kawasan perumahan itu belum mempunyai masjid dan penduduk terpaksa berulang-alik jauh jika mahu bersembahyang berjemaah, khususnya pada hari Jumaat.

Katanya, tambahan pula ta­nah seluas 0.84 hektar yang sudah memperoleh sijil pengesahan tapak rasmi untuk didirikan masjid diterima dari Pejabat Agama Daerah Kluang pada awal bulan Jun lalu.

Ujarnya, ia selepas pihaknya mengusahakan perkara itu sejak enam bulan lalu yang terletak bersebelahan dengan lot rezab Sekolah Rendah Agama yang turut dalam perancangan pembinaannya.

“Cadangan pembinaan masjid ini akan menampung penggunaan seramai 5,000 penduduk Taman Tasek Indah, selain beberapa taman perumahan berdekatan yang ­keseluruhannya berjumlah sekitar 7,500 orang.

“Anggaran kos yang diperlukan bagi pembinaan masjid tersebut ialah sekitar RM20 juta,” katanya selepas melakukan pertemuan dengan Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jamaludin Abd. Hamid di Johor Bahru dekat sini baru-baru ini.

Ujar Abd. Malik lagi, dalam pertemuan itu, Jamaludin turut bersetuju untuk menjadi sebagai penaung pertama pembinaan masjid itu, manakala Kadi ­Daerah Kluang, Sabaruddin Isnin pula penaung ke dua.

Sementara itu, Penyelaras Bersekutu, Pengerusi Sabar Bersama Rakyat Malaysia (BARA) Negeri Johor, Datuk Arjuna Putera Ali berharap agar projek tersebut dapat dilaksanakan seberapa segera memandangkan komposisi penduduk Islam yang semakin bertambah di kawasan berkenaan.

Ujarnya, turut dicadangkan adalah sebahagian ruang untuk Klinik Wakaf dan Pusat Hemodilisis dibina di masjid itu berdasarkan prioriti keperluan golongan B40 di situ.

“Cadangan pembinaan masjid bernilai kira-kira RM20 juta ini juga dijangka dapat menampung kehadiran 2,500 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI