PETALING JAYA – Tidak kelihatan pada majlis pernikahan Shuib dan Watie, Jep Sepahtu akhirnya mengakui tidak dijemput ke hari bahagia sahabatnya itu.
Perkara berkenaan didedahkan pelawak itu bagi menjawab pertanyaan pengikut ketika sesi ‘live’ menerusi laman sosialnya.
“Oh, saya tak dijemput,” kongsinya ringkas.
Jawapan pemilik sebenar Muhd Nadzri Zainal Abidin itu menamatkan tanda tanya mengenai ketiadaannya pada kenduri yang dimeriahkan kehadiran 600 tetamu.
Berlangsung di Putra Glass House, Putra Heights pada 23 Jun lalu, pemilik nama Shahmira Muhammad sah menjadi suami kepada usahawan, Watie Hanifiah, yang juga perkahwinan kali keduanya.
Persoalan dicetuskan netizen apabila dicelah jemputan popular termasuk Nora Danish, Fasha Sandha, MK dan ramai lagi selebriti popular, tiada seorang pun dari kumpulan Sepahtu terutama Jep.
Beberapa hari lalu, seorang lagi bekas anggota Sepahtu, Mamat dalam satu wawancara mengakui tidak dapat hadir ke majlis ijabkabul Shuib disebabkan terikat dengan sebuah program televisyen.
Begitupun, pelawak terbabit menyatakan sempat berbual dengan pengantin menerusi panggilan video pada hari pernikahan.
Terdahulu, hubungan Shuib dan Jep yang juga teman sekampung didakwa tegang berikutan isu dalaman dalam kumpulan mereka.
Penyampai radio itu juga tidak pernah mengumumkan keluar dari kumpulan berkenaan, sebaliknya hanya mahu berehat seketika.
Apabila sekali lagi tercetus desas-desus ‘perang dingin’ antara mereka berikutan penerbitan sebuah program lawak, masing-masing kembali meraih perhatian.
Namun Jep, 38, menyatakan tetap menyayangi Shuib walaupun tidak lagi bekerja bersama kerana sudah berkawan sejak kecil. – KOSMO! ONLINE