ATLET lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini bagi memberi fokus sepenuhnya kepada aspek pemulihan.
Sarah, 22, mengalami kecederaan koyak ligamen kaki kanan hingga menyebabkannya terpaksa berpuas hati meraih pingat perak Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh awal Mei lalu.
Atlet dari Maran, Pahang itu enggan mengambil risiko besar turun berentap di Thailand dalam keadaan belum mencapai 100 peratus pulih selain baru kembali memulakan program latihannya.
“Sekarang baru 70 hingga 80 peratus proses pemulihan, jadi saya buat keputusan tolak Kejohanan Asia sebab takut kecederaan lebih serius. Saya yakin sempat pulih sebelum ke Sukan Universiti Dunia (WUG).
“Kejohanan Asia sebenarnya lebih kepada pendedahan persiapan ke Sukan Asia Hangzhou di China pada September nanti. Di WUG nanti, saya boleh buat juga kerana berlawan dengan atlet-atlet handalan dunia,” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 itu yakin mendapatkan rentak terbaik sebelum turun menghadapi WUG 2023 yang di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Justeru, Sarah berharap tempoh masa ada sekarang dapat digunakan sebaiknya untuk menyesuaikan diri dengan galah baharu yang akan tiba awal bulan ini.
“Sekarang catatan terbaik saya 4.05 meter (m) iaitu kategori B dan saya perlu lakukan 4.10m untuk Kategori A ke Sukan Asia Hangzhou nanti. Saya ada lebih kurang sebulan untuk sesuaikan diri,” jelasnya.
Selain Sarah, beberapa nama besar arena olahraga juga tidak bertanding pada Kejohanan Asia seperti pemegang rekod 400m wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy yang kini berada di Amerika Syarikat.
Selain itu, dua atlet lompat tinggi iaitu dua pemenang pingat gangsa Sukan SEA, Mohammad Eizlan Dahlan dan Farell Glen Felix Jerus selain pelari pecut 100m wanita, Nur Aishah Rofina Aling juga tidak mengambil bahagian.