IPOH – Pengamal media Perak merakam kenangan indah apabila berpeluang melaksanakan ibadah korban bersama Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.
Lembu korban itu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Jurugambar di Media Mulia Sdn. Bhd., Muhamad Nazreen Shah Musthafa, 34, berkata, dia bersyukur dan gembira apabila hasratnya untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini akhirnya tercapai.
“Apabila dipelawa untuk sertai ibadah korban pada tahun ini, saya memang tidak mahu lepaskan peluang, ini adalah kali pertama saya melaksanakan korban,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya bersama ADUN Sungai Rapat di Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.
Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad pula menyifatkan ibadah korban pada tahun ini berbeza apabila menjadi peserta yang mengambil bahagian pada program korban.
“Sebelum ini, saya hanya membantu melapah daging lembu tapi kali ini saya sendiri menjadi peserta. Syukur proses penyembelihan dan agihan daging korban kepada media di Perak berjalan lancar. Diharap ibadah korban yang dilaksanakan ini diterima Allah,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, persatuan penduduk dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat menerima agihan 17 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha selain membolehkan lebih ramai asnaf serta golongan kurang berkemampuan mendapat agihan korban. – KOSMO! ONLINE