GEORGE TOWN – Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan sambutan Hari Raya Aidiladha penduduk di kawasan Flat Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang di sini terjejas akibat banjir kilat.
Keadaan tersebut menyebabkan air sungai yang terletak bersebelahan dengan flat tersebut melimpah mengakibatkan banjir sehingga ke paras lutut dan beberapa buah rumah di kawasan perumahan kampung nelayan di situ juga turut dinaiki air.
Difahamkan banjir mula surut sepenuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi namun penduduk masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana cuaca hujan masih berlaku sehingga kini.
Seorang penduduk, Nur Syazwani Ariffin, 30, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira pukul 3.30 pagi apabila hujan turun dengan lebat dan air dari sungai mula melimpah ke parit.
“Pada waktu itu penduduk mula mengalihkan kereta dan motosikal masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi. Saya yang tinggal di tingkat dua flat tersebut turut mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat yang tinggi, nasib baik saya sempat kerana air naik terlalu cepat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga pukul 8 pagi tadi air sungai masih melimpah kerana hujan masih turun dan keadaan air laut pasang.
Dalam pada itu, menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kira-kira pukul 9 pagi tadi, beberapa tempat di sekitar kawasan Timur Laut telah mengalami kenaikan paras air dan air bertakung di Jalan P. Ramlee, Jalan Langkawi (Kebun Lama), Taman Rampas (Sungai Pinang), Jalan Perak, Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium) kerana hujan berterusan sejak semalam. – KOSMO! ONLINE