SEPANG- MyAirlines terus melebarkan sayap perniagaannya apabila meneroka dua laluan baharu ke Bangkok, Thailand bermula 28 Jun lalu sekali gus menjadikan ia sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia menawarkan perkhidmatan bagi kedua-dua destinasi tersebut.
Menggunakan pesawat Airbus 320, MyAirlines kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
Selain melancarkan laluan antarabangsa baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyAirlines, Rayner Teo berkata, pihaknya juga mengumumkan inisiatif ‘Student Programme’ dengan menawarkan diskaun tiket penerbangan sebanyak 20 peratus kepada pelajar.
“Program MYAirline Students dilihat mampu meringankan beban kewangan dihadapi ibu bapa demi menghantar anak mereka ke pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara.
“Program yang direka untuk pelajar Malaysia dan warga asing turut membolehkan mereka terbang ke lokasi domestik dengan diskaun sebanyak 20 peratus selain menerima elaun bagasi 15 kilogram,” katanya kepada pemberita di KLIA Terminal 2 di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke merasmikan pembukaan laluan baharu MyAirlines ke Bangkok selain melancarkan inisiatif Student Programme dalam usaha meringankan beban pelajar khususnya B40.
Selain itu, menjawab soalan mengenai perancangan dalam pengoperasian pesawat MyAirlines, Rayner menjelaskan, pihaknya bercadang meluaskan operasi penerbangan dengan membuka beberapa laluan antarabangsa pada masa depan.
“Setakat ini, kami beroperasi menggunakan lapan pesawat Airbus 320 dan menjelang penghujung tahun 2023, kita jangkakan jumlahnya mencecah 20 pesawat.
“Jadi, selepas itu, kita akan perkenalkan beberapa laluan antarabangsa lain termasuk Singapura, Indonesia dan Vietnam,” katanya. – KOSMO! ONLINE