STYRIA – Juara dunia Formula Satu (F1) daripada pasukan Red Bull, Max Verstappen terus mengesahkan status selaku pelumba terbaik musim ini apabila mendominasi perlumbaan pecut (sprint) Grand Prix (GP) Austria sebentar tadi.
Pada saingan di Litar Red Bull Ring itu, Verstappen mempamerkan pemanduan bertenaga untuk mendominasi 24 pusingan dengan menewaskan pencabar terdekat yang juga rakan sepasuk, Sergio Perez di tempat kedua.
Pelumba Ferrari, Carloz Sainz melengkapkan kedudukan podium dengan meraih tempat ketiga pada perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu.
“Saya tidak memulakan saingan dengan baik tetapi berjaya bangkit semula ketika perlumbaan berlangsung. Secara jujur, ini adalah saingan yang sukar kerana bukan mudah mengharungi 24 pusingan dengan keadaan cuaca yang tidak baik.
“Situasi bertambah parah apabila saya hampir terbabas kerana keadaan litar yang licin tetapi nasib baik saya masih mampu mengawal jentera sekali gus kekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat,” kata Verstappen.
Kemenangan tersebut menyaksikan Verstappen mendapat lapan mata tambahan dengan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia ketika ini semakin kukuh selepas mengutip 203 mata keseluruhan.
Pelumba kelahiran Belanda itu juga dijangka mudah mendominasi GP Austria malam esok selepas meraih petak hadapan pada aksi kelayakan semalam. – AGENSI