SHAH ALAM – Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras yang ditutup akibat kebakaran 10 buah kilang awal pagi semalam kembali beroperasi bagi menyalurkan bekalan air di 30 kawasan berdekatan bermula pukul 6 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat kebakaran di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang itu kira-kira pukul 3 pagi semalam.
“Sisa kebakaran dan aliran air pemadaman mengalir ke sistem perparitan dan memasuki Sungai Langat. Penyaluran air mentah ke muka sauk LRA Batu 11 terpaksa ditutup bagi pencegahan impak lebih teruk kepada operasi loji,” katanya hari ini.
Loy Sian berkata, penyaluran air mentah ke LRA berkapasiti 27 juta liter sehari (JLH) yang membekal air kepada 8,779 penduduk di sekitar Cheras dan Balakong itu beroperasi semula pukul 6 petang selepas bacaan bau 0 ton direkodkan tiga kali berturut.
Menurut beliau, LUAS melaksanakan kawalan menyekat dan menakung aliran persekitaran itu menggunakan 13 beg Activated Carbon (AC) bagi menyah bau sebelum aliran mengalir sehingga ke Sungai Langat.
“Selain itu, kontraktor panel melakukan penyedutan air sisa pemadaman di longkang sekitar lokasi kebakaran. Kerja berkenaan siap sepenuhnya pukul 10.30 malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE