PETALING JAYA – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) meluahkan rasa kecewa atas tuduhan rasuah terhadap anggota Jabatan Imigresen (JIM) yang dibuat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, sekiranya benar dakwaan itu berlaku maka perkara tersebut perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh King Sing juga boleh dikatakan tidak berasas kerana tidak mempunyai bukti serta hanya bertujuan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu utama.
“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.
“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khairil berkata, tiada pihak yang seharusnya mengganggu tugas penguatkuasaan di negara ini selain bertegas tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya insiden itu berulang.
Dalam pada itu, KPISM juga katanya, menyokong saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar siasatan terperinci dilaksanakan berikutan dakwaan terhadap menteri berkenaan yang dikatakan menceroboh masuk dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – KOSMO! ONLINE