PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Nairobi, Kenya bagi menyampaikan ucaptama dan merasmikan Malaysian Palm Oil Forum – East Africa Region 2023.
Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan berkata, forum bermula 3 hingga 7 Julai itu diadakan bagi meneroka potensi pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur.
Katanya, ia juga bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam industri berkenaan.
“Semasa di Kenya, Fadillah dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Kenya dan Menteri Perdagangan Kenya serta pemain industri sawit di sana.
“Mesyuarat diadakan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kenya serta meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak sawit,” katanya hari ini.
Selain itu, kenyataan tersebut berkata, jadual lawatan Fadillah turut meliputi kunjungan ke kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat pengeluaran makanan utama di Kenya.
“Lawatan itu dijangka menggalakkan kerjasama dan memberi peluang meneroka potensi lebih luas bagi industri minyak sawit negara.
“Pada masa sama, Fadillah turut dijangka mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Kenya,” jelasnya.
Malaysian Palm Oil Forum -East Africa Region 2023 merupakan platform mempamerkan kepakaran Malaysia dalam industri minyak sawit dan meneroka peluang kerjasama dengan negara-negara Afrika Timur.
Lawatan itu dijangka memberi fokus ke atas komitmen Malaysia dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan selain memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Kenya selain negara Afrika lain. – KOSMO! ONLINE