fbpx

Bayar RM1 juta untuk pengalaman beberapa minit di angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roket VSS Unity dilancarkan dari pesawat pengangkut VSS Eve menuju ke angkasa lepas. - Virgin Galactic

WASHINGTON – Sebuah roket Virgin Galactic meluncur ke pinggir angkasa lepas kelmarin, menandakan kejayaan penerbangan angkasa lepas komersial pertama oleh syarikat berkenaan, lapor portal berita CNA.

Syarikat pelancongan angkasa lepas swasta itu diasaskan oleh bilionair Britain, Richard Branson pada 2004.

Dinamakan Galactic 01, misi kelmarin selama 90 minit berlepas dari pelabuhan angkasa, Spaceport America di New Mexico sekitar pukul 8.30 pagi (waktu tempatan), demikian menurut siaran media Virgin Galactic.

Laman web Virgin Galactic turut menyiarkan lintas langsung penerbangan tersebut.

Tidak seperti pesaingnya, Virgin Galactic menggunakan ‘pesawat induk’, VMS Eve bersama juruterbang yang berlepas dari landasan, mencapai altitud tinggi dan melepaskan sebuah pesawat berkuasa roket, VMS Unity.

Roket itu meluncur ke angkasa pada kelajuan sekitar 3,700 kilometer sejam sebelum meluncur kembali ke Bumi.

Misi Galactic O1 membawa tiga penumpang terdiri daripada dua penyelidik Tentera Udara Itali, seorang ahli Majlis Penyelidikan Nasional Itali dan eksekutif Virgin Galactic, Colin Bennett.

Penumpang pesawat angkasa itu merasai pengalaman empat minit tanpa graviti sepanjang perjalanan mereka yang mengambil masa selama 90 minit. Mereka dapat melihat Bumi yang melengkung pada ketinggian 80 kilometer dari aras laut.

Pesawat rokety itu dikendalikan dua juruterbang iaitu Mike Masucci dan Nicola Pecile, sementara juruterbang Kelly Latimer dan Jameel Janjua mengemudi pesawat induk.

Penerbangan tersebut berlangsung hampir dua tahun selepas Branson meneroka pinggir angkasa lepas dalam satu pe­nerbangan ujian bagi meneroka era baharu pelancongan angkasa lepas yang sangat menguntungkan.

Bagaimanapun, Virgin Galactic berdepan halangan termasuk sekatan penerbangan untuk seketika oleh Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA). FAA membuat keputusan itu selepas mendapati penerbangan Branson tersasar daripada laluan tanpa Virgin Galactic membuat laporan mengenainya.

Virgin Galactic menamatkan sekatan FAA dengan kejayaan ujian penerbangannya pada Mei lalu. Secara keseluruhan, syarikat itu melakukan lima ujian penerbangan sebelum me­lancarkan penerbangan komersial pertamanya kelmarin.

Sepanjang misi tersebut kru Galactic 01 melakukan 13 eksperimen termasuk mengumpul data pada sut mereka dan kabin VMS Unity.

Virgin Galactic menjual kira-kira 800 tiket untuk penerbangan angkasa lepas komersial di masa hadapan dengan 600 tiket dijual antara 2005 hingga 2014 pada harga AS$200,000 (RM935,800) hingga AS$250,000 (RM1,169,750) setiap satu dan 200 tiket berharga AS$450,000 (RM2,105,550) setiap satu selepas itu.

Kumpulan yang pertama membeli tiket tersebut terdiri daripada bintang filem dan selebriti.

Virgin Galactic bersaing dalam sektor pelancongan angkasa lepas dengan syarikat Blue Origin milik bilionair, Jeff Bezos yang telah menghantar 32 orang ke angkasa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI