fbpx

Warga emas tersesat jalan pulang, pandu kereta lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang warga emas memandu kereta secara lawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua ke KM 126.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan, kelmarin.

SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas tular memandu kereta secara lawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga ke Kilometer 126.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, tangkapan dilakukan selepas pasukan Peronda Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.43 pagi.

Menurutnya, pemandu berusia 80 tahun itu ditahan di lokasi aduan setelah memberhentikan keretanya jenis Proton Persona dan kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU), untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta tersebut dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah hendak ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggal.

“Walau bagaimanapun, pemandu tersebut tersesat jalan dan masuk ke Lebuh Raya Utara- Selatan serta tidak menjumpai laluan keluar untuk membuat pusingan U di tol berhampiran.

“Lalu, dia mengambil tindakan untuk memandu secara lawan arus. Pemandu tersebut juga dipercayai menunjukkan petanda lupa ingatan sejak kebelakangan ini yang dimaklumkan oleh pihak keluarga,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tindakan saman juga dikeluarkan terhadap pemandu warga emas terbabit berikutan lesen memandunya tamat tempoh. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, tular satu video yang merakamkan seorang warga emas memandu kereta secara lawan arus di laluan kanan lebuh raya dalam media sosial termasuk Facebook. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI