SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang menyiasat punca sebenar kematian sembilan ekor kucing di kampus universiti itu sama ada diracun secara sengaja, teracun atau disebabkan penyakit.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, sembilan ekor kucing didapati mati serentak pada Rabu lalu iaitu lima ekor di Inapan Siswa (Inasis) MISC dan empat ekor di Inasis BSN.
“Punca sebenar kematian semua kucing tersebut belum diketahui, sama ada disebabkan diracun secara sengaja, teracun atau sebab-sebab penyakit,” katanya, di sini hari ini.
Kata beliau, pihak Jabatan Keselamatan UUM sedang menyiasat punca sebenar kematian haiwan berkenaan.
“Siasatan juga bagi mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab sama ada staf, mahasiswa, pengusaha kafetaria atau orang luar, jika benar (kucing) diracun secara sengaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Foad, universiti akan membina istana kucing berhampiran Inasis Petronas untuk mengelakkan kucing berkeliaran di kawasan kampus.
“Pembinaan istana kucing itu dibuat atas tanda prihatin UUM terhadap kucing-kucing terbiar di kampus yang mana sebahagian kucing tidak mendapat makanan terutama ketika musim cuti pelajar,” jelasnya.
Menurutnya, kucing di kampus perlu diurus secara sistematik dan terancang demi menjaga kebajikan haiwan itu.
Kosmo! hari ini melaporkan pengguna media sosial dikejutkan dengan perkongsian gambar dan video oleh seorang individu mengenai perbuatan tidak berperikemanusiaan pihak tertentu yang sanggup meracun 10 ekor kucing dipercayai berlaku di sebuah universiti tempatan. – KOSMO! ONLINE