fbpx

Tinggal beg silang ada RM100, dakwa hilang lebih RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michael (tengah) menunjukkan kronologi kes penipuan membabitkan seorang peniaga restoran di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Taktik meninggalkan beg silang di restoran lalu mendakwa wang di dalamnya berkurangan ketika menuntut semula menjadi satu taktik scammer terbaharu untuk mengugut pemilik restoran.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ma, 65, berkata, seorang pekerjanya menjumpai satu beg silang berisi wang RM100 sebelum diserahkan kepada juruwang restorannya, di Jalan Kuchai Lama, di sini, 23 Jun lalu.

Pemilik restoran itu berkata, selepas tiga hari, dua lelaki tempatan berusia 35 tahun telah hadir ke restorannya mendakwa mereka sebagai pemilik beg silang tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki tersebut meluahkan rasa tidak berpuas hati kerana hanya ada RM100 sahaja di dalam beg tersebut dan mendakwa sepatutnya ada lebih daripada RM3,000 serta barang kemas.

“Memang tiada wang sampai RM3,000 dalam itu (beg silang). Bukan itu sahaja, mereka berdua mahu ugut selesaikan secara sendiri atau akan melaporkan kehilangan wang itu kepada pihak polis.

“Bukan itu sahaja, mereka turut mengugut bahawa saya akan kehilangan pekerja warga asing yang digajikan sekiranya menjadi kes polis,” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ma yang merasakan dirinya diperas ugut mengarahkan kedua-dua lelaki tersebut membuat laporan polis dan tidak mahu membayar wang kepada mereka.

“Sehingga kini saya belum menerima panggilan daripada pihak polis, jadi saya dapat rasakan ini adalah taktik scammer terbaharu menyasarkan pemilik restoran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati semua pemilik restoran untuk berhati-hati dengan modus operandi dijalankan individu ini.

Tambah beliau, dianggarkan sekitar empat kes yang membabitkan ugutan serta penipuan terhadap pemilik restoran diterima selepas pandemik Covid-19.

“Jika pemilik restoran berhadapan dengan situasi yang sama, sila laporkan kepada pihak polis untuk dikenal pasti taktik ini satu sindiket yang baru bermula.

“Apabila (pemilik restoran) jujur, tiada masalah untuk simpan barang tertinggal milik pelanggan, jangan takut dengan ugutan scammer ini” ujarnya – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI