KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada agar tidak terjerat dalam perangkap sindiket penipuan yang kini menggunakan jenama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengugut mangsanya.
PDRM menerusi Facebook rasminya berkata, pihaknya mengesan satu helah sindiket penipuan yang didapati mewujudkan sebuah laman sesawang yang mengguna pakai gambar halaman Portal Rasmi PDRM bagi memperdaya orang ramai.
“Siasatan lanjut mendapati halaman tersebut memaparkan notifikasi ‘Your browser has been locked!’ yang mendakwa kononnya anda sebagai pengguna internet melayari laman sesawang berunsur lucah, propaganda, keganasan dan lain-lain,” katanya dalam hantaran hari ini.
Tambah PDRM, pengguna seterusnya diminta oleh sindiket berkenaan membayar sejumlah wang secara dalam talian tersebut.
“Sindiket itu juga didapati mengugut bahawa kandungan di dalam peranti yang digunakan akan musnah jika pelanggan gagal membuat pembayaran, bersama ugutan bahawa sepasukan anggota polis akan datang membuat tangkapan ke atas mereka,” ujarnya.
Justeru, PDRM menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menemui laman sesawang yang mencurigakan. – KOSMO! ONLINE.