fbpx

‘Saya masuk penjara kerana upah RM100’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faridah (kanan) bersama anaknya yang hadir pada program Advokasi Keluarga Peringkat Penghuni di Penjara Pokok Sena baru-baru ini.

ALOR SETAR – Pengalaman meringkuk dalam penjara akibat terlibat dalam aktiviti teksi sapu termasuk membantu mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) jelas menginsafkan seorang banduan wanita.

Wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Faridah, 51, berkata, kegiatan itu dilakukan ekoran kesempitan wang sehingga memaksa dia terlibat dalam kancah jenayah.

Menurut Faridah yang juga ibu tunggal, dia kini menjalani hukuman setelah didapati bersalah kerana mengangkut tujuh PATI warga Indonesia pada Disember tahun lepas.

“Selalu saya terima tempahan untuk bawa peniaga-peniaga Kemboja, tetapi pada hari kejadian, saya dapat tempahan untuk bawa tujuh orang Indonesia dari Changlun ke Padang Besar.

“Saya memang tak sangka sebarang kemungkinan akan berlaku kerana tempahan ini saya dapat daripada peniaga Kemboja yang saya kenal.

“Bagaimanapun, malang buat saya apabila saya ditahan bersama tujuh lelaki warga Indonesia berkenaan di Stesen Bas Changlun.

“Memang terpinga-pinga ke­rana tak sangka mereka adalah PATI. Peniaga Kemboja itu pula hilang entah ke mana,” katanya ketika ditemui pada program Advokasi Keluarga Peringkat Penghuni di Penjara Pokok Sena dekat sini baru-baru ini.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu yang ditahan pada Mac lepas didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Aptisom 2007).

Bercerita lanjut, Faridah mengakui telah bercerai tujuh tahun lepas dan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga.

“Macam-macam kerja saya buat termasuk membawa orang seperti itu tetapi saya tak sangka kesudahannya seperti ini. Saya cuma mendapat upah RM100 untuk membawa mereka dan kesudahannya saya bergelar banduan.

“Apa pun saya reda dan insaf dengan perbuatan saya ini. Saya harap orang di luar sana jangan sesekali melakukan kerja seperti ini walaupun kadang-kadang niat kita ikhlas, namun niat orang lain kita tak tahu,” katanya yang akan dibebaskan pada Mac tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI