LABUAN – Seorang remaja maut manakala sepupunya parah selepas motosikal dinaiki terbabas sebelum merempuh penghadang besi dalam kejadian di Jalan Bukit Besar berhampiran Simpang Bidara 57, semalam.
Dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Ansyahdinullah Sabarudin, 13, yang menunggang motosikal jenis Honda ADV, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikal bersama sepupunya dari arah Bulatan Taman Mutiara menuju ke arah Kampung Sungai Lada.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi sebaik tiba di lokasi menyebabkan mangsa terpelanting dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahmad memaklumkan sepupu mangsa iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun patah di bahagian lutut kiri namun berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Labuan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE