ISKANDAR PUTERI – Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai dipanah petir ketika turun menjaring ketam bersama bapanya di kawasan perairan Pulau Merambong, di sini hari ini.
Mangsa berusia 17 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 8.15 pagi di tempat kejadian manakala bapanya yang berusia 60 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arifin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang tidak bersekolah itu menaiki bot bersama bapanya turun ke laut untuk menangkap ketam.
“Hujan lebat ketika kejadian dan hanya mangsa berdua bersama bapanya di dalam bot berenjin 15 kuasa kuda. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mendapatkan pelampung untuk menarik jaring menangkap ketam yang dipasang pada hari sebelumnya.
“Bapa mangsa tercampak ke hujung bot berdekatan enjin dan masih mampu menyelamatkan anaknya dengan menarik tangan mangsa sebelum dibantu oleh nelayan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rahmat berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Ladang, Gelang Patah, di sini, dan mereka bekerja sebagai nelayan.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk bedah siasat.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE