PADA asasnya, jika ingin menyembuhkan sesuatu penyakit kita perlu mencari puncanya dan merawat simptom yang berlaku.
Misalnya jika patah kaki, maka kita perlu rujuk kepada pakar ortopedik untuk menyembuhkannya.
Bagaimanapun, apabila melibatkan keadaan kesihatan warga emas yang lebih lemah, rawatan diperlukan bukan sekadar membawa mereka berjumpa dengan doktor.
Mereka memerlukan perhatian yang lebih terperinci daripada pakar geriatrik yang bukan sahaja memantau hal perubatan, tetapi memberi prihatin kepada fungsi fizikal, intelek, kesejahteraan emosi dan sokongan sosial apabila diperlukan.
Apabila populasi dunia semakin meningkat usianya, penjagaan geriatrik merupakan aspek penting dalam fasiliti penjagaan kesihatan.
Pakar Perunding Geriatrik dari Pusat Perubatan Sunway, Dr. Teh Hoon Lang berkata, pakar geriatrik bukan sahaja berperanan mendiagnosis isu perubatan berbangkit, tetapi juga memahami pesakit secara menyeluruh.
Menurutnya, sesetengah masalah dalam kalangan pesakit yang lebih tua mungkin tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan biasa.
Dia menambah, sebaliknya, pesakit memerlukan ‘sentuhan’ daripada pakar geriatrik untuk membuka hati mereka.
“Sentuhan manusia sangat penting dalam amalan perubatan.
“Ia adalah sesuatu yang kita masih perlukan walaupun dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Perubatan geriatrik merupakan satu perkhidmatan kesihatan yang sangat khusus dan unik.
Ia menyediakan penjagaan secara komprehensif dan individual serta melibatkan pelbagai disiplin kepada warga emas demi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka.
Pakar geriatrik mahir dalam mengenal pasti keadaan kesihatan yang berkait dengan usia, gangguan fungsi, kemerosotan kognitif dan isu psikososial yang biasanya terjadi kepada warga emas.
Misalnya, kerap memendam rasa kerana kebanyakan mereka tidak begitu terbuka tentang kesedihan, kebimbangan atau penyakit dialami.
Dengan pemeriksaan menyeluruh, pakar geriatrik boleh merancang pelan penjagaan peribadi yang berpadanan dengan keperluan khusus individu supaya mereka berasa yakin dan selesa.
Sebagai contoh, apabila pesakit warga emas jatuh, pakar geriatrik dilatih bukan sahaja untuk memulihkan tulang yang patah akibat kejadian itu, malah mengenal pasti punca pesakit jatuh kerana terdapat banyak faktor ia berlaku.
Sementara itu, Dr. Hoon Lang berkata, mungkin pesakit mengalami masalah penglihatan atau kaki tiada rangsangan sehingga membuatkannya tidak dapat berjalan dengan betul.
Menurutnya, pesakit juga mungkin jatuh disebabkan masalah jantung yang tidak diketahui.
“Sebagai pakar geriatrik, kami akan cuba untuk membetulkan masalah tersebut.
“Kemudian, kami akan menguatkan tulang mereka.
“Sekiranya pesakit didapati mengalami osteoporosis, kami akan merawatnya dengan mengurangkan risiko patah tulang pada masa hadapan,” jelasnya.
Tambahnya, apa yang paling penting, mereka akan cuba mengembalikan fungsi pesakit kepada yang sebelumnya sebanyak mungkin.
Selain rawatan perubatan dan penyembuhan fizikal akibat kecederaan, penjagaan geriatrik juga mengiktiraf kepentingan intervensi gaya hidup bagi menggalakkan proses penuaan yang lebih sihat.
Beberapa intervensi ini mungkin termasuk, tetapi tidak terhad kepada program senaman, kaunseling pemakanan, rangsangan kognitif, penglibatan sosial serta pengurusan ubat-ubatan.
Ini kerana warga emas sering menghadapi masalah yang dikenali sebagai Geriatrik Giants.
Ia merangkumi lima I iaitu intellectual impairment (kemerosotan intelek), instability (tidak stabil dan senang jatuh), immobility (kesukaran untuk bergerak), incontinence (tidak boleh kawal kencing atau berak) dan iatrogenic (sebarang kesan samping akibat rawatan yang diberikan kepada pesakit)
Oleh itu, pakar geriatrik biasanya bekerja dengan tenaga pakar pelbagai disiplin.
Antaranya pakar perubatan, jururawat, pegawai pemulihan fizikal, pegawai pemulihan cara kerja, pegawai farmasi dan pekerja sosial.
Pendekatan kolaboratif sedemikian dapat memastikan semua aspek kesihatan golongan warga emas dapat dikenal pasti, sekali gus membuahkan hasil rawatan yang lebih berkesan dan komprehensif.
Ketika dunia berhadapan dengan cabaran ekoran pertambahan populasi yang semakin menua, penting untuk kita mula memberi perhatian terhadap perkhidmatan penjagaan geriatrik dan sistem penjagaan kesihatan kepada orang tersayang.
Ia bukan sahaja boleh menambah baik kesihatan mereka, malah dapat mengurangkan kos penjagaan kesihatan berkait dengan komplikasi yang boleh dicegah dan meningkatkan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Paling utama, penjagaan geriatrik dapat menolong warga emas mengekalkan keberdikarian supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup lebih baik serta terus berbakti kepada komuniti.
Ia juga membuatkan mereka berasa masih diperlukan dan dihargai kerana apabila meningkat usia, perasaan tersebut semakin pudar dalam diri mereka.