TAPAH – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dikhuatiri lemas ketika sedang menjala ikan di lombong, di Jalan Bidor-Teluk Intan, Bidor, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat awam pada pukul 1.33 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki hilang ketika menjala.
Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor diatur gerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Difahamkan, mangsa berseorangan ketika turun menjala ikan di lombong berhampiran tapak pelupusan sampah itu.
“Operasi pencarian segera diaktifkan di mana anggota membuat carian di permukaan dan tebing lombong. Sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE