PUTRAJAYA – Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja berkuat kuasa bermula esok.
Berdasarkan keputusan kerajaan sebelum ini, penguatkuasaan tersebut telah ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.
Sehubungan itu, pelaksanaannya akan membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.
Menerusi kenyataan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada 27 Disember tahun lalu, keputusan menangguhkan penguatkuasaan melibatkan gaji minimum RM1,500 kepada majikan bagi kategori tersebut selepas mengambil kira soal kesediaan majikan.
Selain itu, pihaknya turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan jangkaan cabaran ekonomi serta kewangan yang bakal dihadapi tahun 2023.
Berikutan itu, penangguhan selama enam bulan ini diharap memberi peluang kepada majikan berkenaan untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan selain membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 berkuat kuasa sejak 1 Mei tahun lalu dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.
Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Bagaimanapun, ia kemudian ditangguhkan penguatkuasaannya selama enam bulan.
Pelaksanaan gaji minimum baharu itu diluluskan kerajaan pada 19 Mac tahun lalu dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE