fbpx

Bank disaran terus bantu individu, PKS – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika mengadakan sesi dialog bersama Bank Negara Malaysia dan wakil perbankan di Putrajaya, Rabu lalu.

PETALING JAYA – Institusi perbankan disaran untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuklah bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Jelasnya, industri perbankan mempunyai peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, terutama dalam membantu peminjam yang masih terkesan.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia membantu rakyat dan PKS.

“Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Rabu lalu, satu sesi dialog diadakan bersama-sama wakil perbankan sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan pandangan berkaitan ekonomi negara.

Antara lain, perbincangan menyentuh dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sesi dialog itu dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew serta wakil bank iaitu AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Dalam pada itu, wakil perbankan bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan.

Anwar berkata, perbincangan tersebut juga menyentuh bidang-bidang baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

“Ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi Madani, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.

“Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” ujar beliau.

Kata Anwar, segala pandangan yang dikongsikan akan digunakan untuk membentuk NEM bagi mencorakkan hala tuju ekonomi negara yang akan dilancarkan Ogos tahun ini.

“Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI