JUARA dunia, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah mengharapkan rezekinya kali ini untuk dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 bulan depan.
Ini adalah kali kelima jaguh bina badan negara berusia 50 tahun itu tersenarai pencalonan akhir ASN selepas gagal memenangi anugerah berkenaan dalam empat edisi lalu pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.
Pemenang empat gelaran Mr. Universe dan lima Mr. Asia itu mampu menutup 25 tahun karier gemilangnya dalam sukan bina badan jika dapat merealisasikan impian bergelar Olahragawan Kebangsaan.
“Saingan kuat-kuat dan kita tengoklah rezeki nanti sebab saya pun teringin juga nak menang Olahragawan Kebangsaan. Ini kali kelima tersenarai dan kalau menang ia boleh menjadi penutup yang manis.
“Saya dah lama dalam skuad kebangsaan sehingga memenangi empat juara dunia, lima Asia. Macam-macam saya lalui termasuk dalam keadaan trauma dengan mental terseksa ketika meraih pingat emas Sukan SEA Vietnam.
“Saya dah 25 tahun dalam sukan bina badan dan boleh dikatakan telah memenangi kesemua gelaran kecuali olahragawan (kebangsaan) sahaja. Saya bersyukur kalau saya dapat memenanginya kali ini,” katanya.
Syarul yang mesra disapa Mike, turut menyifatkan ia mampu menjadi hadiah hari lahir terbaik buat dirinya selepas genap usia 50 tahun pada 7 Jun lalu.
Bagaimanapun, Syarul enggan memandang rendah kemampuan empat pencabarnya yang mempunyai rekod cemerlang tahun lalu seperti dua atlet angkat berat, Mohammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan.
Juara dunia badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh snuker negara, Lim Kok Leong turut tersenarai dalam pencalonan akhir ASN 2022 yang menyaksikan peluang terbuka buat semua atlet.
Sebagai rekod, pemenang terakhir pada ASN 2021 iaitu jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang tidak tersenarai bagi edisi kali ini.