PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM368.15 juta untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.
PNB dalam kenyataan memaklumkan, pengagihan pendapatan tersebut bersamaan 5.00 sen seunit kepada 312,476 pemegang unit yang kini memiliki 7.36 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.76 peratus sebanyak 224 mata asas.
“Sehingga 26 Jun 2023, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM346.41 juta,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Ekuiti domestik dan antarabangsa merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan masing-masing sebanyak 41.46 peratus dan 29.75 peratus daripada keseluruhan portfolio.
“Prestasi dan keupayaan dana untuk menjana pendapatan adalah hasil strategi pelaburan yang berkesan, kepelbagaian portfolio, dan pemantauan berwaspada terhadap arah aliran pasaran dan keadaan ekonomi.
“Dengan menguruskan risiko dan memastikan pulangan yang mampan, dana ini telah dapat menyediakan pertumbuhan jangka panjang untuk pemegang unitnya,” ujarnya.
Sementara itu, pemantauan prestasi berkala, ditambah dengan pengurusan risiko yang proaktif telah membolehkan ASB 3 Didik memberikan pulangan kompetitif secara konsisten.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut. – KOSMO! ONLINE