KUALA TERENGGANU – Enam beradik sepakat mengorbankan lembu sado kesayangan, Rudy yang pernah memenangi Prince of Sado bagi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada hari ini.
Pemiliknya, Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 30, berkata, Rudy yang seberat 500 kilogram (kg) memenangi anugerah itu bagi kategori Junior pada Himpunan Lembu Sado Pantai Timur di Jabi, Besut tahun lalu.
Dia berkata, Rudy yang berusia hampir tiga tahun dibeli daripada seorang kawannya di Gong Badak, Kuala Nerus dengan harga RM10,000.
“Memang tujuan asal saya membeli Rudy untuk memasuki pertandingan lembu sado dan Alhamdulillah berjaya memenanginya.
“Walaupun saya sangat menyayanginya, saya dan lima beradik lain sepakat untuk mengorbankannya esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Durian, di sini semalam.
Katanya, niat mengorbankan Rudy jenis charolais itu mengambil hikmah melepaskan sesuatu disayangi bagi meraih reda dan diterima Allah.
“Lagi pun Rudy yang merupakan lembu sado mempunyai daging dalam kuantiti yang banyak.
“Insya-Allah kami boleh agihkan daging korban kepada lebih 1,000 penduduk kampung ini,” katanya.
Tambahnya, selain mereka enam beradik, seorang rakannya dari Manir, di sini turut menyertai ibadah korban melibatkan Rudy ini.
Di George Town, Universiti Sains Malaysia (USM) menumbangkan seekor lembu sado baka charolais seberat 750 kilogram pada majlis ibadah korban yang diadakan di Kampus Induk USM semalam.
Lembu sado berharga RM11,000 antara 20 ekor ternakan korban yang disembelih diikuti dengan 20 ekor kambing.
Naib Canselor, Profesor Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, ini merupakan penampilan istimewa sambutan Aidiladha di USM tahun ini meskipun ia dirai dalam suasana penuh kesederhanaan.
“Saya berharap agar semua warga USM sentiasa bersyukur dengan perayaan Aidiladha tahun ini dan terus memelihara kesejahteraan,” katanya.
Terdahulu, dianggarkan lebih 1,000 jemaah terdiri daripada warga USM, qariah, orang awam dan pelajar antarabangsa menghadiri solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Malik Khalid. -KOSMO! ONLINE