MEKAH – Sebanyak tujuh jemaah disahkan tidak dapat berwukuf kelmarin disebabkan koma dan tidak bersedia atas faktor kesihatan sekali gus terluput peluang mengerjakan haji pada tahun ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kes koma melibatkan dua jemaah selepas mereka terjatuh di lobi hotel Abraj Al-Janadriyah dan dirawat di hospital Arab Saudi.
Katanya, seorang lagi menghidap penyakit radang paru-paru dan dirawat di hospital sama.
“Empat lagi dirawat di pusat rawatan Tabung Haji di sini sebagai pesakit psikiatri dan mereka ini kita bawa ke Arafah semalam (kemarin) tetapi tidak mencapai tahap yang bersedia untuk berwukuf.
“Kesemua jemaah itu berusia dalam lingkungan 50-an hingga 70-an. Ahli keluarga tujuh jemaah ini telah dimaklumkan sama ada yang datang bersama mereka ke Tanah Suci dan di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Mohd. Na’im melakukan lawatan ke Pusat Rawatan Syisyah di sini dan diberikan taklimat mengenai operasi dan jenis pesakit yang dirawat oleh petugas perubatan.
Menurut Mohd. Na’im, pesakit mengalami masalah mental mungkin disebabkan oleh cuaca dan tekanan kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza ketika di Malaysia.
Tambahnya, ahli keluarga mereka sedih apabila dimaklumkan mengenai keadaan pesakit tetapi mereka kemudian reda dengan apa yang berlaku.
“Mereka tidak dapat berwukuf dan kemungkinan giliran haji pada masa akan datang dibuat atas budi bicara. Jika kita beri, maka ia akan ganggu aliran giliran ke atas jemaah seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Na’im menasihatkan kepada orang ramai supaya menggunakan khidmat syarikat yang diperakui oleh TH sekiranya ingin membuat badal haji bagi mengelak daripada ditipu.
“Sekiranya ingin menggunakan syarikat atau individu lain, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dan siasatan sendiri bagi mengelak badal menjadi bedal selain tiada jaminan.
“Sikap orang kita yang lembut hati dan mudah percaya kepada orang terutama berkaitan ibadat menyebabkan kes penipuan badal haji ini sentiasa berulang. Jangan bagi ruang kepada penipu,” katanya.
Terdahulu tular satu video di laman sosial apabila beberapa individu yang dipercayai mendapat upah membuat badal haji membuang kertas tertulis nama pengirim.
Video itu juga menunjukkan individu berkenaan bersuka ria ketika melakukan badal haji selain merokok sehingga mengundang pelbagai persoalan. – KOSMO! ONLINE