fbpx

Penternak sumbang 25 ekor lembu, niat pahala untuk ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINOL ABIDIN (dua dari kiri) menyerahkan lembu kepada wakil anggota tentera daripada Rejimen Sempadan di Jitra kelmarin.

JITRA – Seorang penternak lembu menghadiahkan sebanyak 25 ekor haiwan ternakan itu kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masjid di daerah ini bagi menjalankan ibadah korban pada tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn. Bhd., Zainol Abidin Mohamad, 65, ia dilakukan dengan harapan supaya pahala yang mengalir dapat dihadiahkan kepada arwah ibunya, Allahyarham Bibi Fatimah Abdul yang menjadi individu pertama mendorongnya untuk menyertai bidang ternakan.

Katanya, dia percaya kejayaan nya dalam bidang diceburi sejak 2018 itu adalah hasil daripada berkat doa arwah ibunya yang meninggal dunia pada Ogos 2020.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Non’ dalam kalangan penduduk setempat mengakui, tidak menyangka dapat menguasai bidang itu setelah bersara dari dunia pendidikan.

“Setelah ibu diserang penyakit angin ahmar pada 2018, beliau ada menyatakan hasrat untuk melihat saya membela kambing di tanah kami dekat Jalan Sintok. Saya terus membeli dua ekor kambing bagi menyenangkan hati ibu.

“Tidak lama kemudian, kam­bing itu membiak dan ibu minta saya buat kandang lebih besar kerana jumlahnya bertambah.
Tidak cukup dengan itu, ibu sanggup keluarkan wang RM25,000 dari ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan meminta saya membeli lembu pula untuk dibela,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan lembu tersebut di sini kelmarin.

Katanya, dia kemudian menggunakan wang daripada ibunya itu untuk membeli 12 ekor lembu yang dijual secara murah oleh seorang rakan.

“Bermula dari situ, saya tidak menoleh ke belakang sehingga mampu menjadi pembekal da­ging di utara tanah air,” ujarnya.

Antara pihak yang menerima sumbangan daripada ‘Cikgu Non’ adalah badan beruniform seperti polis dan tentera rejimen sempadan, Persatuan Bekas 9 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kelab Media Elit Kedah (KMEK) serta lima buah masjid di daerah berkenaan.

Lembu-lembu yang diserahkan itu dikelaskan sebagai gred A dengan memiliki berat sekurang-kurangnya 300 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI