JAKARTA, Indonesia – Seekor lembu seberat hampir satu tan yang dibeli penyanyi dangdut popular, Ayu Ting Ting mengamuk ketika ia hendak disembelih untuk ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha, lapor portal berita TribunJatim hari ini.
Lembu sado berwarna gelap itu sempat mengamuk sebelum disembelih dan kejadian tersebut disaksikan oleh beberapa wartawan. Kejadian berlaku di halaman kediaman penyanyi tersebut.
Bagaimanapun, beberapa orang berjaya menenangkan lembu itu termasuk Ayu Ting Ting dan keluarganya.
Penyanyi itu mengusap-gusap lembu korbannya untuk menenangkan haiwan tersebut.
“Tenang, tenang,” kata Ayu Ting Ting dan untuk membuat haiwan itu tenang, penyanyi berusia 31 tahun itu bersama keluarga juga mengucapkan takbir.
Pada tahun ini, sebanyak tiga ekor lembu seberat hampir satu tan milik penyanyi tersebut dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha. – Agensi