JEDDAH, Arab Saudi – Seorang lelaki bersenjata yang menyerang bangunan Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Jeddah kelmarin terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan, kata seorang jurucakap rasmi polis kota suci Mekah seperti laporan akhbar Saudi Gazette.
Seorang pengawal keselamatan berketurunan Nepal di konsulat itu turut meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius.
Jurucakap Polis Mekah berkata, siasatan masih dijalankan berhubung serangan itu.
“Pada petang Rabu pukul 6.45 petang (waktu tempatan) seorang yang menaiki sebuah kereta berhenti berhampiran bangunan Konsulat AS di Jeddah dan keluar sambil membawa senjata api di tangannya.
“Pihak berkuasa keselamatan mengambil inisiatif menanganinya seperti yang dikehendaki dalam situasi tersebut,” kata kenyataan polis. – Agensi