WASHINGTON – Satu laporan terbaharu mendedahkan kemusnahan hutan hujan tropika kini berlaku pada kadar pantas dengan dunia kehilangan kawasan hutan menyamai keluasan 11 padang bola sepak bagi setiap minit, sekali gus membebaskan berbilion tan gas karbon dioksida ke atmosfera setiap tahun, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Laman web pemantau hutan di seluruh dunia, Global Forest Watch (GFW) menerusi laporannya berkata, kawasan hutan asal tropika yang ditebang atau dibakar pada 2022 meningkat 10 peratus berbanding 2021, menjadi 40,999 kilometer (km) persegi.
Ia seterusnya membebaskan sehingga 3 bilion tan karbon dioksida, demikian menurut laporan yang dikeluarkan dengan kerjasama Universiti Maryland.
Penebangan kayu balak serta pembukaan tanah untuk pertanian atau pembangunan, menyumbang lebih 80 peratus daripada hutan yang musnah.
Kadar selebihnya dilaporkan musnah akibat kebakaran. Namun GFW berkata, tidak seperti hutan tanah tinggi dan sederhana, kebanyakan kebakaran di kawasan tropika berlaku disebabkan tangan manusia.
Brazil dan Republik Demokratik Congo menyaksikan kemusnahan paling banyak, manakala peningkatan pantas dalam kehilangan hutan dilihat di Ghana serta Bolivia.
Namun, bagi dua negara Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Malaysia, ia berjaya mengekalkan kadar kehilangan hutan asal menghampiri paras yang paling rendah.
Menurut GFW, data tersebut menunjukkan dunia gagal memenuhi komitmen utama termasuk ikrar 145 negara pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland pada November 2021.
Matlamat utamanya adalah untuk menghentikan dan memulihkan kemusnahan hutan menjelang 2030 sebagai mengiktiraf kepentingannya dalam memerangi perubahan iklim serta kehilangan biodiversiti.
“Berdasarkan pengurangan yang konsisten dalam kehilangan hutan asal untuk mencapai matlamat itu, trend tersebut bergerak ke arah yang salah,” kata GFW.
Sementara itu, laporan berkenaan mendapati kemusnahan hutan utama di Brazil melonjak 15 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2022, seterusnya menjadi 17,699 km persegi dengan kebanyakannya di rantau Amazon.
Hutan Amazon menyaksikan penebangan hutan secara jelas berada pada tahap tertinggi sejak 2005 dengan GFW menyalahkan dasar populis bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro.
Selain itu, pengembangan pertanian komoditi khususnya kacang soya merupakan pemacu utama kemusnahan hutan di Bolivia yang menyaksikan peningkatan rekod 32 peratus kepada 2,719 km persegi pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, kemusnahan hutan di Indonesia yang mencapai kemuncak pada 2015, menunjukkan trend pemulihan dengan berkurang lebih daripada separuh kawasan yang hilang pada 2021, menjadi 1,035 km persegi pada 2022.
Ia dipacu oleh kempen pemerintah untuk mencapai sasaran sifar pelepasan karbon dioksida daripada aktiviti perhutanan dan penggunaan tanah lain menjelang 2030, pencegahan kebakaran dan pemuliharaan tanah gambut serta bakau.
Dalam pada itu, kemusnahan hutan di Malaysia pula kekal mendatar pada kira-kira 699 km persegi selepas mencecah hampir 2,589 km persegi pada 2012.
Ia didorong oleh usaha kerajaan dan syarikat-syarikat korporat termasuk komitmen yang meliputi kebanyakan sektor minyak sawit dan perjanjian kemampanan mengenai pensijilan minyak sawit.
Negara-negara lain yang turut berjaya mengurangkan kemusnahan hutan secara drastik pada 2022 termasuk Costa Rica, China, Ivory Coast, Vietnam, Gabon dan Madagascar. – Agensi