SEBERANG PERAI – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam perselisihan faham berkaitan hutang berhampiran sebuah premis di Jalan Sungai Udang, Nibong Tebal di sini susulan tular satu rakaman video di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berkaitan kejadian berlaku pada Isnin lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa berhutang dengan salah seorang suspek lelaki tempatan dan kemudiannya telah didatangi empat suspek yang menaiki kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire warna hitam.
“Kesemua suspek cuba menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan namun dihalang kakak mangsa dan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut dirampas adalah sebuah kereta Toyota Vellfire warna hitam yang bersangkut kes tersebut.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, tular di laman sosial video berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang lelaki dikasari empat individu sekali gus menimbulkan kekecohan di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE