PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam untuk menghayati dan mengambil ibrah (teladan) daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail kepada Allah SWT.
Ahmad Zahid menerusi kenyataannya di Facebook berkata, ia mesti diraikan dengan bermuhasabah tentang kesediaan dan semangat berkorban demi kebaikan ummah.
“Kisah ini menjadi satu manifestasi ketakwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri serta ibu dalam mentaati perintah Allah SWT.
“Ia merupakan nilai berharga dalam membangunkan masyarakat Madani dan refleksikan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini untuk umat Islam di Malaysia.
“Jadikan sebagai inspirasi, tingkatkan kualiti kehidupan peribadi seorang muslim dan bina masyarakat yang lebih mampan ketakwaannya dalam berhadapan sebarang cabaran,” katanya.
Dalam masa sama katanya, didik hati untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
“Amalkan sikap dermawan dan kesederhanaan dalam membentuk keprihatinan sesama kita agar lahirnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
“Ikhlaskanlah hati memaknai erti pengorbanan, perkuatkan ukhuwah dan jalinan persaudaraan serta semarakkan rasa kekitaan.
“Semoga Aidiladha yang diraikan ini membawa kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan kepada kita semua. Saya, Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE