JAKARTA – Seorang wanita Indonesia menjadi sasaran kecaman netizen kerana memuat naik video dia menari semasa mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah, lapor program berita Liputan6 semalam.
Berdasarkan klip video yang tular di laman TikTok, wanita memakai jubah hitam berpurdah itu dilihat sedang berdiri dan bersiap sedia untuk menari.
Ketika memulakan gerak tarianya, kelihatan tiga wanita dari negara lain melintas di hadapan, menyebabkan dia menghentikan seketika aksinya.
Dia kemudian menyambung gerak tarinya meskipun terdapat seorang wanita lain lalu di hadapannya sehinggakan dia terlanggar wanita berkenaan.
Tidak dijelaskan secara terperinci lokasi kejadian, namun aksi tersebut dilakukan di sebuah kawasan pejalan kaki selain wanita berkenaan disahkan jemaah dari Indonesia.
Video tersebut menjadi tular dan menerima kritikan netizen.
“Pergi ke Tanah Suci bukan niat untuk beribadah, tetapi mahu membuat kandungan TikTok. Nauzubillah,” kata seorang netizen.
“Anda pergi ke Tanah Suci, bukan tempat pelancongan atau berpiknik. Janganlah menari di tengah jalan yang menjadi laluan orang ramai,” kata seorang pengguna media sosial lain.
Selepas dikecam dan diulang kongsi oleh ramai netizen, akaun asal yang memaparkan video itu telah diletakkan dalam mode privasi. – AGENSI