JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori terpaksa reda kehilangan pendapatan bulanan RM3,000 selepas kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya pada April lalu.
Sejak kejadian itu, Mohd. Shazwan Md. Garip, 42, terpaksa bergantung kepada pencen bapanya Md. Garip Abu Hassan, 77, yang merupakan pesara tentera untuk menyara kehidupan bersama lima orang anak yang masih kecil dan bersekolah.
Dia yang telah berpisah dengan isteri tahun lalu berkata, kejadian kemalangan berlaku ketika menunggang motosikal dalam perjalanan dari tempat kerja di Pasir Gudang.
“Motosikal yang dinaiki telah dilanggar sebuah kereta yang turut menggilis kaki saya.
“Saya dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan doktor gagal menyelamatkan kaki saya kerana banyak urat terputus.
“Walaupun luka pembedahan saya sudah sembuh dan saya mampu bergerak dengan menggunakan alat sokongan, namun saya masih tidak dapat mengurus diri, anak-anak mahupun memandu,” katanya baru-baru ini.
Mohd. Shazwan berkata, ibunya, Zawiyah Ahmad, 70, membantu menguruskan dirinya serta menjaga anaknya berusia antara tiga hingga 14 tahun
“Saya sangat terharu dengan pengorbanan ibu bapa, walaupun sudah berusia, namun tetap kuat semangat menjaga kami sekeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Md. Garip berkata, dia dan isterinya reda dengan suratan takdir dan berharap anak ketiga daripada tujuh beradik itu tabah dengan dugaan Allah SWT ini.
“Empat anaknya bersekolah, manakala seorang masih memerlukan bekalan susu, oleh itu urusan penjagaan mereka bukan mudah, namun kami melakukan sekadar mampu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang bagi membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB milik Mohd Shazwan 7041324727 atau menghubungi talian 0123258614 atau 0108955792.