NAMA pelakon Zizan Razak kian bersinar terutama apabila filem terbaharunya, Polis Evo 3 kini mencecah kutipan RM 52 juta di pawagam.
Bakatnya terus menjadi perhatian pihak Malaysia International Film Festival (MIFFest) apabila dipilih sebagai juri edisi keenam acara terbabit.
Pengerusi MIFFest, Joanne Goh berkata, kriteria utama pelawak itu dipilih untuk menduduki kerusi juri adalah berdasarkan lakonan hebat yang ditonjolkan oleh aktor itu.
“Zizan dipilih untuk menjadi wakil juri daripada Malaysia kerana dia merupakan pelakon terbaik.
“Kami juga ingin Zizan merasai pengalaman baharu sebagai juri dalam edisi keenam filem festival ini.
“Zizan juga dipilih untuk memberi variasi terhadap kombinasi pelakon dan pengarah untuk menentukan pemenang,” katanya.
Respons Zizan
Dalam pada itu, Joanne memaklumkan bahawa aktor itu memberikan respons positif sebaik sahaja mengetahui mengenai tawaran sebagai juri MIFFest kali ini.
Sebagai juri, pelakon yang juga pelawak itu berusaha melakukan persediaan awal lebih-lebih lagi dalam memilih pemenang dengan teliti.
“Semasa menerima berita mengenai tawaran juri, dia sangat teruja untuk beraksi di kerusi penjurian.
“Dia kini sedang melakukan persediaan rapi dengan menonton kesemua filem yang dipertandingkan.
“Malah, dia tidak sabar untuk berkumpul bersama juri-juri lain bagi menentukan pemenang pada hujung Julai kelak,” jelasnya lagi.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak merupakan selebriti Malaysia yang bertuah kerana dia dikelilingi penggiat seni terkemuka seperti seperti Truong Ngoc Ang (Vietnam), Ryuichi Hiroki (Jepun) dan Eric Khio (Singapura) di kerusi juri.
Sementara itu, Presiden juri pada kali ini ialah Johnnie To yang merupakan pengarah terulung Hong Kong bakal bersama-sama menentukan nasib pesaing terbaik MIFFest kali ini.
Persaingan pada tahun ini lebih sengit kerana pihak MIFFest menerima sambutan dengan lebih 300 penyertaan dari seluruh dunia.
Namun, hanya 42 filem dari 15 negara sahaja dipilih finalis sekali gus bakal merebut takhta juara pada 23 sehingga 29 Julai di Lalaport Bukit Bintang, City Centre.
Malam kemuncaknya pula akan diadakan pada hari terakhir acara berlangsung yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur.