fbpx

Ucapan saya hanyalah sekadar metafora – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan buku log kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai seorang yang lawak kerana menuduhnya menggalakkan keganasan hanya kerana ucapannya yang didakwa cuba mengaitkan peristiwa berkaitan Constantinople dengan Pulau Pinang.

Menurut Muhammad Sanusi, kelakuan Ahli Parlimen Bagan itu tidak ubah seperti budak-budak yang sering menganggap semua perbuatan orang lain sebagai satu bentuk ancaman.

Katanya, beliau merasakan bahawa perkara itu merupakan satu bentuk penyakit yang ada dalam kalangan pimpinan DAP sedangkan apa yang diucapkannya itu hanyalah sekadar metafora.

“Lawaklah Guan Eng ini, beliau macam budak-budak. Rasanya selepas ini kalau saya makan pun, beliau akan kata saya berbuat demikian untuk sihat kerana nak lawan dengannya. Saya rasa ini satu penyakit di peringkat pimpinan DAP kerana apa yang orang lain buat, semua tak betul dan dianggap sebagai ancaman. Entah apa justifikasi digunakan mereka dalam hal itu, kita pun tak tahu.

“Ucapan saya tentang Constantinople itu adalah satu metafora dan Constantinople pun tak ada sekarang ini kerana dah jadi Istanbul,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang akhbarnya semalam mendakwa Muhammad Sanusi menggalakkan keganasan apabila menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople hampir 600 tahun lampau.

Menurut Guan Eng, tindakan Muhammad Sanusi itu merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan adalah amat berbahaya untuk menjelaskan sesuatu isu dengan menggunakan istilah ‘ala perang’, walaupun seseorang individu itu mendakwa tidak bercakap mengenai penggunaan kekerasan berhubung sesuatu perkara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI