IPOH – Kegiatan suami isteri menjadikan dua buah rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dan membungkus pelbagai jenis dadah, terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di Jalan Medan Ipoh di sini kelmarin.
Serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu membawa penemuan dadah lebih 10 kilogram (kg) bernilai RM538,646.20.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 39 tahun itu diberkas bersama isteri warga China berusia 37 tahun di rumah sewa mereka pada pukul 7.45 malam.
Katanya, pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai dadah jenis ketamin seberat 8.5 gram (g), lapan biji pil ekstasi (3.3 gram), lima biji pil eramin 5 (1.35 gram) dan serbuk dadah disyaki ekstasi (22.4 gram).
“Susulan tangkapan tersebut, kita telah menyerbu sebuah rumah lain di taman sama pada 10.25 malam yang dijadikan tempat menyimpan dan membungkus dadah. Dalam serbuan itu, sebanyak 757 gram dadah jenis ketamin ditemui bersama 2,765 biji pil ekstasi (1,088 gram), 15,250 biji pil eramin 5 (4,329.35 gram), serbuk dadah disyaki ekstasi (1,020.6 gram) dan 141 peket minuman disyaki serbuk ekstasi (3,427 gram).
“Turut dirampas dalam serbuan itu, beberapa peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah dan tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,200 membabitkan nilai keseluruhan RM41,200, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap pasangan suami isteri itu mendapati suspek lelaki positif dadah jenis ketamin dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE