fbpx

Siasatan Syeikh Zainul Asri diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syeikh Muhd. Zainul Asri ketika berucap pada Himpunan Kedah Berselawat Berbusana yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.

ALOR SETAR – Polis Kedah mengesahkan telah menerima 23 laporan polis dari seluruh negara dengan 12 daripadanya diterima di negeri ini berhubung kenyataan pendakwah bebas, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli berkaitan isu ‘musuh Allah’.

Kenyataan tersebut dibuat Syeikh Muhd. Zainul Asri pada Himpunan Kedah Berselawat Berbusana anjuran Kerajaan Negeri Kedah di Stadium Darul Aman, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh memberitahu, susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Katanya, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Pihak polis Kedah telah mengambil langkah awal berikutan laporan-laporan yang telah dibuat di Kedah bermula 25 Jun lalu. Siasatan kini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, Seksyen 505 (c) KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 233 AKMM 1998 membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perbuatan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kegusaran serta menggugat ketenteraman awam,” ujarnya.

Syeikh Muhd. Zainul Asri yang juga Mudir Pondok DarSA Kuala Nerang dalam ucapannya pada Himpunan Kedah Berselawat Berbusana itu didakwa menyentuh tentang isu ‘musuh Allah’.

Beliau kemudian membuat permohonan maaf berkaitan perkara tersebut serta menjelaskan ucapannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan disalah tafsir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI