SEJAK menyertai temasya Sukan Olimpik buat kali pertama pada 1956, rakyat Malaysia terus kempunan untuk menyaksikan kontinjen negara membawa pulang pingat emas ke tanah air.
Percubaan demi percubaan sudah dilakukan, namun kita hanya berjaya merangkul lapan pingat perak, lima gangsa dalam 16 penampilan pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.
Pencapaian paling cemerlang pada Sukan Olimpik Rio 2016 di mana Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa, sekali gus aksi terbaik dalam sejarah Olimpik negara.
Menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Malaysia semakin serius dalam usaha mendapatkan pingat emas pertama negara apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan program Road To Gold (RTG).
Berdasarkan senarai dikeluarkan Jawatankuasa RTG, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat sebagai prospek terbaik memenangi emas.
Bagaimanapun, penulis menganggap ia sebagai satu pertaruhan besar kerana seluruh rakyat Malaysia pastinya meletakkan harapan besar memandangkan sejumlah RM6.9 juta diperuntukkan untuk program tersebut.
Selain itu, timbul juga beberapa isu berhubung kelayakan pemain atau pasukan yang disenaraikan kerana mereka dianggap tidak memiliki peluang untuk memenangi emas di Paris nanti.
Keputusan untuk mengekalkan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menampilkan aksi kurang memberangsangkan selain kehadiran skuad hoki kebangsaan dalam program RTG nyata menjadi persoalan ramai pihak.
Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli antara individu mempersoalkan program RTG yang dilihat seolah-olah sudah tergelincir dari tujuan asal untuk memenangi pingat emas pertama Olimpik.
“Saya fikir ada sedikit kekeliruan iaitu adakah program ini untuk kelayakan Olimpik atau mengejar emas pertama. Ia sama seperti kerja yang Majlis Sukan Negara (MSN) buat sebelum ini, tidak ada perbezaan.
“Apa istimewanya program ini sekiranya ia lebih kepada kuantiti berbanding kualiti. Sepatutnya program ini hanya beri tumpuan kepada atlet-atlet berkelas A+ sahaja. Atlet-atlet lain hanya teruskan dengan program latihan yang sudah diatur,” katanya.
Bagi penulis, apa yang diperkatakan Dr. Pekan ada kebenarannya, lebih-lebih lagi penyenaraian skuad hoki kebangsaan dalam program RTG yang dianggap mengejutkan selepas kali terakhir melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada edisi 2000 di Sydney, Australia.
Bukanlah mahu menidakkan kemampuan mereka ketika ini, namun peluang memenangi emas di Olimpik sangat tipis dengan kehadiran pasukan gergasi dunia seperti Belanda, Australia, Jerman dan Belgium.
Tambah Dr. Pekan, RTG perlu diuruskan sebaiknya selain membuat keputusan konsisten bagi menentukan hala tuju program kerana ia melibatkan wang rakyat yang cukup banyak.
“Setidak-tidaknya mereka (atlet) perlu diberikan surat tunjuk sebab serta peringatan mengapa mereka tidak boleh digugurkan daripada program, terutamanya atlet-atlet yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan,” ujarnya.
Kesimpulannya, penulis menganggap RTG adalah satu program yang bagus sekiranya dikendalikan dengan baik, namun perlu dihadkan kepada atlet yang benar-benar memiliki potensi memenangi emas.