fbpx

Polis lawat sekolah tular kurung murid, bapa maafkan guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perbualan WhatsApp berhubung murid darjah satu didakwa dikurung oleh guru, baru-baru ini.

REMBAU – Polis telah membuat siasatan berhubung kes tular murid tahun satu yang di kurung dalam sangkar besi dan membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, hasil siasatan pihaknya melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS), Cawangan Khas dan Ketua Polis Balai Kota mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Menurutnya, guru lelaki berusia 43 tahun telah mendenda murid tahun satu itu dengan mengurung di ruangan besi (sangkar) kerana kesalahan disiplin.

“Ruangan besi ini merupakan ruangan pameran Persatuan Pencegahan Dadah Sekolah. Pada pukul 9 pagi tadi, satu perjumpaan telah dibuat melibatkan pegawai pendidikan daerah, pihak sekolah dan keluarga mangsa yang turut dihadiri pihak polis.

“Hasil perjumpaan tersebut bapa mangsa telah menerima penjelasan oleh guru tersebut dengan baik dan telah memaafkannya. Kes ini telah diselesaikan antara pihak berkenaan dan sehingga kenyataan ini dikeluarkan tiada laporan polis yang diterima berkaitan kejadian ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, pihaknya menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan berita-berita yang tidak sahih sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk sentiasa membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06- 6851999.

Terdahulu tular di media sosial, seorang pengguna Twitter Azuan Abd Ghafar memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp antara seorang bapa dengan guru di sekolah terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI