PETALING JAYA – Orang ramai terutamanya pemilik kucing dijemput untuk memperagakan kucing kesayangan dan memenangi pelbagai hadiah menerusi dua penganjuran The Meow Fiesta 2023.
Bagi penganjuran pertama, fiesta ini akan diadakan di The Mines, Seri Kembangan, bermula esok sehingga 2 Julai ini, manakala acara kedua akan berlangsung di 3 Damansara bermula dari 7 hingga 9 Julai ini.
Penganjur fiesta tersebut, CapitaLand memberitahu, kedua-dua acara itu adalah anjuran bersama Kelab Meow United berserta Feline Fanciers’ Association (FFA) dan Cat Fanciers’ Association (CFA), The Mines serta 3 Damansara.
Jelasnya, bagi penganjuran The Mines FFF MEOWSome International Cat Show pada 1 dan 2 Julai ini, penyertaan adalah terhad kepada 125 kucing dalam sehari setelah mengambil faktor keselesaan dan keselamatan si manja.
“Antara juri yang telah dijemput untuk menilai kucing-kucing yang bakal dipertandingkan adalah Dr. Gan YH, Eddie Fong, Leo Choi, Azhar Mohamad, Ikhsan Maulana dan Dr. Sara Umar.
“The Mines mengalu-alukan kedatangan anda pada hari minggu ini untuk menyaksikan sendiri keletah kucing-kucing ini sepanjang tempoh pertandingan,” katanya.
Selain pertandingan, The Mines turut menyediakan aktiviti ‘petting zoo’ kepada pengunjung yang hadir pada acara terbabit.
“Orang dewasa serta kanak-kanak berpeluang menyuap makanan kepada haiwan-haiwan comel seperti arnab, tikus belanda dan hamster.
“The Mines juga telah menyediakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan bagi kanak-kanak seperti face painting, penampilan khas dari badut, pengubahan belon serta bengkel kraftangan percuma bagi kanak-kanak untuk memeriahkan suasana bazar tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai acara di 3 Damansara CFA International Cat Show yang berlangsung pada 8 Julai di Centre Concourse, Tingkat Bawah, 3 Damansara, CapitaLand berkata, kucing-kucing kesayangan yang mengambil bahagian bakal dinilai berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti bakat dan rupa.
“Kucing-kucing ini akan diadili oleh Juri All Breeds iaitu Pam DelaBar (Finland), Amanda Cheng (Hong Kong), Russell Webb (US), Allan Raymond (Australia), Mihoko Tsuchiya dan Toshihiko Tsuchiya (Japan).
“Pertandingan ini terbuka kepada peserta-peserta tempatan dan antarabangsa.
“Pada keesokan harinya pula, di venue sama akan diadakan National Meow Championship 2023 (pusingan kedua) bermula pukul 10 pagi sehingga 7 petang.
“Bagi pertandingan ini, 3 Damansara akan membariskan enam juri antarabangsa iaitu Tuti Iskandar dan Ruly Yuwono dari Indonesia, Vorapon Mantham dan Saichol Thanomwong dari Thailand, Pam Delabar dari Finland and Russell Webb dari United States of America (Amerika Syarikat),” ujarnya.
Selain menyaksikan pelbagai jenis kucing beraksi, terdapat banyak aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung antaranya termasuk Meow Fiesta Bazar.
“Di bazar ini pengunjung akan disajikan dengan pelbagai mainan dan barangan keperluan si manja melalui jualan barangan kucing seperti maoCATfe, YT Cat Teasers, SK Organic Cat Food, Purrfect Sister Cat dan FGU.
“Turut disediakan adalah reruai kucing angkat yang mana pengunjung boleh memilih kucing terbiar yang dibawa daripada pusat jagaan untuk dipelihara,” jelasnya.
Bagi maklumat lanjut mengenai aktiviti dan kempen promosi di The Mines dan 3 Damansara, orang ramai boleh menghubungi terus The Mines di talian 03-8949 6333 atau e-mel [email protected], manakala 3 Damansara di talian 03-7663 2801 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE