PETALING JAYA – Seorang murid darjah satu dikatakan dikurung guru dalam sebuah ruang ditutupi jeriji besi dipercayai berlaku di sebuah sekolah.
Insiden tersebut tular di Twitter selepas seorang pengguna memuat naik tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp dipercayai dalam sebuah ‘group’ ibu bapa dengan pihak sekolah.
Berdasarkan perbualan tersebut, seorang bapa bertanya sama ada anaknya diletakkan di dalam ruang tersebut dan ia kemudian dibalas seorang individu dipercayai seorang guru yang memberitahu anak lelaki itu berada di situ.
Malah, guru tersebut turut mengaku bahawa dia meletakkan murid itu di dalam ruang tersebut.
Sementara itu, pengguna Twitter yang memuat naik tangkap layar perbualan itu mendakwa, ruangan itu mempunyai kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali gus boleh mengundang bahaya.
“Allahuakhbar, apa ni ek, sampai kena kurung budak darjah satu kat dalam pagar besi. Siap ada TNB punya ‘box’ tu, kot kalau budak tu buat main benda tu lagi tak jadi apa la.
“Macam mana sekalipun tu budak darjah satu, cikgu janganlah ambil tindakan di luar batasan. Patutlah anak aku sejak darjah satu ni tak ceria macam sebelum ni pergi tadika.
“Mungkin anak aku pernah kena kurung atau dia nampak kawan-kawan dia pernah kena macam tu. Itu yang buat anak aku takut nak ke sekolah,” kata lelaki itu pada hantarannya.
Bagaimanapun lelaki itu tidak memaklumkan lokasi sekolah rendah tersebut.
Berikutan itu, orang ramai memberi maklum balas supaya perkara tersebut dilaporkan kepada pihak yang berkenaan, manakala lelaki itu turut memberitahu telah mengadukannya kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). – KOSMO! ONLINE